Hadis Rasulullah saw

"SEBAIK2 JIHAD ITU BERKATA BENAR DISISI PENGUASA YANG ZALIM"

Thursday, January 28, 2010

Hikayat 2001 malam ( Part 4 )

.
Maka berpening lalatlah akan Dol Serbatahu tatkala melihat akan dia kelaku kepala suku ketua adat tatkala DUIT KUTU ORANG MATI telah hilang lesap. Sayugia kepala ligat otak menipu Dol Serbatahu berfikir bermenung akan helah akan dipersembahkan pada mertuanya Wali Abdal.

Habis keringat otak udang Dol Serbatahu perah akan tetapi tiada dapat akan dia fikir apa muslihat untuk menipu Wali Abdal. Maka merujuklah akan Dol Serbatahu pada Menteri Syahbandar bersama juak utamanya Orang Kaya Mandeliar putar alam adanya.

Mengikut tuan empunya hikayat tersohor dengan bantuan Menteri Syahbandar dan Orang Kaya Mandeliar maka terjumpalah akan helah muslihatnya apakala duduk bertinggung berbincang berteka teki bersoaljawab hampir setengah purnama lamanya.

Maka itu bersegeralah Dol Serbatahu dengan senyum bak kucing liar berak sembelit dalam pasir masuk mengadap bapa mertuanya apakala sudah yakin akan muslihatnya boleh diterima akal Wali Abdal adanya.

Justeru itu diadukan Dol Serbatahu akan Wali Abdal hakikat sebenar DUIT KUTU ORANG MATI telah hilang di makan anai-anai dari Negeri atas Angin.

Apakala diadukan oleh menantunya maka percayalah Wali Abdal akan cerita putar belit rekaan Dol Serbatahu dan sahabat2 autanya. Arakian Wali Abdalpun memanggil tukang lapor dan memberi titah akan dia mohon ditutup buku cerita DUIT KUTU ORANG MATI kerana gerangan anai-anai dari Negeri atas Angin.

Tatkala mendengar arahan Wali Abdal itu maka terlopong ternganga masuk lalat akan mulut Tukang Lapor terkejut beruk yang amat akan kisahnya seperti itik tak sudu ayam tak patuk adanya.

Maka bermadah berselokalah akan Wali Abdal bahawa semua sekali DUIT KUTU ORANG MATI akan pulih seperti sediakala tatkala beralih angin bulan purnama pada minggu pertama setiap bulan. Adapun mengikut kalendar Negeri Gerbang Bulat bulan hanya akan purnama pada tiap-tiap tengah bulan adanya.

Akan hakikat sebenar gerangan apa DUIT KUTU ORANG MATI lesap tidak diadu Dol Serbatahu akan mertuanya.

Adapun menurut juak-juak terdekatnya duit itu telah ditelan kerja besar Dol Serbatahu memanggil rakyat Negeri Gerbang Bulat beradu tubuh badan bersegi bulat untuk menjadi lambang negerinya.

Adapun naik semangat penuh keringat akan Dang Anum Setia isteri Wali Abdal tatkala mengetahui akan Pusat Perut Muda adakan majlis beradu tubuh badan bersegi bulat hasil bijaksana menantunya Dol Serbatahu.

Maka banyaklah akan duit hamba rakyat hangus dibakae menjadi debu arang halus gunanya untuk membuat asap tebal bagi memilih akan juara tubuh badan bersegi bulat adanya.

Arakian amat besar bangganya Wali Abdal tatkala melihat dengan mata kepala sendiri akan pujian juak-juak kaki bodek akan kehebatan becakap senohong Dol Serbatahu. Maka Pusat Perut Muda dianugerahkan Wali Abdal akan sekeping tanah rizab asal tapak rumah pasong dengan niat buat market rakyat kebulur tak makan bergelar Kedai Serban Tok Lebai adanya.

Apakala khabar berita itu sampai kepada Dol Serbatahu maka berpeluh jantanlah akan dia terkejut bukan kepalang akan murah hati mertuanya. Maka diseru diusung diajak berpawah Dol Serbatahu akan seorang saudagar ikan kering bergelar Paduka Dato Kerengga yang amat masyhur bijak membuat laba mengumpul untung akan dia.

Akan Paduka Dato Kerengga itu asal usulnya Tuan Punya Syarikat Timur Jauh berdagang ikan kering di kedai malam bernama Market Gelap Tipu Belaka yang dibuka petang gelap sejak zaman berzaman lamanya. Adapun gerangan apa dibuka petang gelap adalah supaya rakyat mudah tersalah nilai tergamak besar akan ikan keringnya yang banyak berulat hapak kohong adanya.

Maka bertemulah buku dengan ruas, Rabu dengan Khamis tatkala Dol Serbatahu berpawah menghitung untung laba bersama dengan Paduka Dato Kerengga adanya. Akan rakyat jelata sangat maklum apakala berpawah berkongsi bersama Tuan Punya Syarikat Timur Jauh yang tabiatnya suka cantas pucuk tutuh dahan kerat batang habis semua tak bersisa adanya.

Mengikut empunya cerita bermulalah rosak punah ranah hajat baik niat molek Wali Abdal tatkala Dol Serbatahu berpakat bersama Paduka Dato Kerengga makan bertumbuk rusuk berdagang amanah besar suci murni akan mertuanya.

Arakian dek kerana ghairah menghitung laba, kerja licik jahat ligat putar alam Dol Serbatahu bersama Paduka Dato Kerengga telah dimaklumi akan rakyat kebulur tak makan yang menadah janji besar Wali Abdal untuk bermukim di Kedai Serban Tok Lebai sejak zaman bah selut merah adanya.

Maka berasak-asak berduyun-duyun rakyat kebulur tak makan meninggi suara menangkat tangan tanda kena zalim persis tiada langit hendak dijunjung, tiada bumi hendak dipijak.

Sejak itu bermulalah hikayat sejarah panjang lebar perang besar bagai guruh di langit antara Dol Serbatahu dengan Dato Menteri Baitulmal Dan Kebesaran bersaksikan sekalian penduduk desa dan kota melihat Dewa sama Dewa berbalah, rakyat kecil mati kena tindih adanya.

Adapun rakyat Negeri Gerbang Bulat sudah sedia maklum akan keistimewaan Dato Menteri Baitulmal Dan Kebesaran yang petah bercakap, bijak berfikir dan pandai berunding akan dia. Justeru mengikut ilmu firasat Dato Menteri Baitulmal laba rakyat maka untunglah akan dia, rugi rakyat maka rugilah akan dia.

Maka itu ramailah Ahlil Nujum Negara dan Tukang Tilik Nasib berijtihad bahawa Dato Menteri Baitulmal Dan Kebesaran akan dinobatkan sebagai pengganti Wali Abdal di kemudian hari tatkala berundur dalam manis adanya .


Bersambung …………………………………..cilipadi007

10 comments:

  1. baca cerita nii,,hilang rasa pening kerenah politik negeri kelantan...

    ReplyDelete
  2. Tak pehe ambo weh. Straight to the point buleh dok?

    ReplyDelete
  3. puah hati baca cite dongeng cilipadi weh.rasaa mcm hak berlaku ddi kelantan loni

    ReplyDelete
  4. jgn tunggu lama2 tuan cilipadi.esok lusa sambung balik 2001 mlm.

    saya tak sabar nak baca next episode.sure lagi excited dol serbata tahu punya adventure haha

    ReplyDelete
  5. salam ...
    org yg tahu saja dapat menikmati cerita ini..
    cik Azlan termasuk golongan org2 yg rugi..ha ha ha

    ReplyDelete
  6. Tak sah rasanya kalu tuan cilipadi tidak dedahkan kronisma dan harta kekayaan besan wali abdal iaitu sheikh tok repek. aktiviti licik mengaut harta kekayaan melalui politik adalah amalan besan sejak dahulu kala. besan a.k.a sheikh tok repek ni adalah tok nebe di negeri orang kaya mandeliar al-putar alam. Jika tuan cilipadi tak tahu menahu hal besan sorang maka amat malang dan rendah sekali ilmu makrifat tuan.

    ReplyDelete
  7. relak wali bedal

    kita tunggu sambungan akan datang.saya rasa semua ada sangkut paut dlm seloka akan datang.ke mcmana cilipadi yg bijakjenaka?

    ReplyDelete
  8. ye ambo setuju dgn en mamatmuda. kita tunggu aje. korek habis2an segala penyeleweng yg duk nusut di dalam jubah politik Isle di kelate.

    ReplyDelete
  9. ambo cadang cilipadi siar cerita 2001 mlm 2 kali seminggu.rasa tak sabar nak tunggu.penantian satu penyeksaan

    ReplyDelete